2/01/2009

Pengisytiharan dibuat 5 Februari 2009 POKOK SENA DAERAH KE 12 DI KEDAH

Apabila menjadi sebuah daerah penuh semua urusan penduduk melalui Pejabat Daerah tidak lagi perlu datang ke Alor Star. Pejabat Daerah di sini memberi perkhidmatan berkaitan pembangunan luar bandar (projek-projek kecil), bencana alam dan kesihatan, cukai setem dan pelesenan (cukai hiburan).
Oleh: AMELIA HASHIM

POKOK SENA - Encik Zahari Ismail adalah Pegawai Daerah kedua bagi Daerah Kecil Pokok Sena tetapi selepas ini beliau adalah Pegawai Daerah Pokok Sena yang pertama apabila daerah ini diisytiharkan sebagai daerah penuh. Sebelum ini Tuan Haji Zauki Musa yang sekarang bertugas di Daerah Bandar Baharu. Encik Zahari menggantikan beliau bermula pada 15 Mei 2008.

Menurut Encik Zahari, sebelum ini Pokok Sena dikategorikan sebagai daerah kecil seperti Air Itam dan Merbok. Pada 5 Februari 2009 nanti Daerah Pokok Sena bakal mencatat sejarah apabila diisytiharkan sebagai daerah ke 12 di Kedah oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah.
Apabila menjadi sebuah daerah penuh semua urusan penduduk melalui Pejabat Daerah tidak lagi perlu datang ke Alor Star. Pejabat Daerah di sini memberi perkhidmatan berkaitan pembangunan luar bandar (projek-projek kecil), bencana alam dan kesihatan, cukai setem dan pelesenan (cukai hiburan).

Katanya peristiharan ini memang dinanti-nantikan. Ini kerana keluasan dan jumlah penduduk sudah layak untuk mempunyai daerah sendiri. Oleh itu pada 26 November 2006 Jemaah Menteri telah bersetuju daerah ini dinaik taraf daripada daerah kecil kepada daerah penuh.
"Pembangunan sedang pesat berjalan dalam semua bidang. Dari segi tempat rekreasi untuk pelancongan katanya, telah dikenal pasti sebuah tempat yang terdapat lata. Kawasan ini masih kosong akan dibangun sebagai tempat pelancongan. Tetapi masih di dalam perancangan mungkin akan dimasukkan ke dalam program Rancangan Malaysia Ke-10.

"Selain itu, kita juga bercadang mewujudkan kawasan 'bandar baru' yang menempatkan pejabat-pejabat kerajaan. Kawasan yang cantik seluas 400 hektar yang terletak di Jalan Pokok Sena ke Gajah Mati. Di sini juga letaknya Penjara Pokok Sena. Ini juga masih di dalam perancangan," ujarnya.

Tambahnya lagi, dari segi pembangunan Pokok Sena ada potensi besar untuk berkembang. Kawasan di Mukim Jabi telah menjadi milik bebas yang memberi kemudahan kepada pelabur. Ini ditambah dengan kemudahan jalan raya Alor Star ke Durian Burung merentasi daerah ini.
"Sebelum Pejabat Daerah beroperasi Pejabat Tanah Daerah memulakan perkhidmatan untuk orang ramai berurusan di sini. Begitu pun perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan masih di Bandaraya Alor Star, walaupun daerah ini mempunyai lebih 7000 pegangan yang layak membayar cukai," ujarnya.

Sebagai Pegawai Daerah Encik Zahari menaruh harapan yang Pokok Sena akan membangun sama seperti daerah-daerah lain dalam semua aspek.

Tiada ulasan: