1/16/2008

Ingatkan dah habis orang nak menipu-Kes Sharlinie

Lelaki dibelasah selepas mengaku jumpa Sharlinie


PETALING JAYA 17 Jan. – Gara-gara cuba menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan bertanyakan mengenai mangsa culik Sharlinie Mohd. Nashar, seorang lelaki cedera dibelasah penduduk di Taman Medan di sini malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 malam itu, dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu menaiki sebuah motosikal tiba di depan rumah kanak-kanak itu sebelum memperkenalkan diri sebagai polis Bukit Aman kepada keluarga Sharlinie.


Difahamkan, mereka cuba meminta daripada keluarga mangsa gambar Sharlinie yang lebih besar dan jelas sambil mendakwa mereka pernah terjumpa Sharlinie.


Mereka beredar kira-kira lima minit kemudian tanpa menyedari tindakan itu telah mencetuskan kemarahan penduduk di situ.


Berang dengan apa yang berlaku, penduduk sekitar kawasan perumahan mencari dua lelaki terbabit sebelum menjumpai mereka dan membawa kedua-duanya ke rumah keluarga mangsa.
Ketika cuba meminta maaf, kekecohan berlaku dan salah seorang daripadanya dibelasah, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.


Bagaimanapun, beberapa anggota polis berpakaian preman yang tiba di tempat kejadian pada kira-kira 10.10 malam berjaya menahan lelaki yang cedera itu.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semua orang tipu untuk kepentingan diri.Mereka tak fikir ke pasal perasaan keluarga mangsa.Dalam kes camni pun boleh nak main-main lagi.

sabaq ja la.